Thursday, January 27, 2011

Rabbaniy

Kala kita bekerja keras melihat Islam kembali subur menjadi ustaz kepada alam, terasa begitu sukar perjalanan. Terasa begitu menginginkan keajaiban.
Di situ lah kita harus kembali kepada sifat asas dakwah, iaitu rabbaniy.

Rabbaniy itu apabila kita meletakkan kebergantungan sepenuhnya kepada Allah, pada masa sama hubungan dengan Dia begitu rapat dan pembersihan hati daripada dosa dan maksiat dilakukan dengan begitu mujahadah. Dan apabila kerabbaniyan itu terbina secara hebat, maka yakinlah bantuan Allah akan tiba.

Itu teori.
Namun bukti terpampang di dalam al-qur'an dan seerah. Bagaimana Nabi Musa berada di hujung daratan bersama pengikutnya apabila dikejar Firaun. Dan Allah memerintahkan agar baginda menghentak tanah, lantas laut merah terbelah dua. Nah, itulah bantuan yang tidak disangka-sangka. Dan itu hanya terjadi apabila perjuangan dilaksanakan oleh Nabi Musa secara habis-habisan. Begitu juga dengan perang badar dan perang mu'tah yang dilihat lahiriah MUSTAHIL untuk tentera Islam menang. Namun disebabkan keimanan dan tawakkal yang begitu hebat, ditambah dengan pembersihan dan taubat yang dahsyat, maka Allah turunkan kemenangan.

Begitu juga kisah Talut dan Jalut yang diceritakan dalam surah Al-Baqarah. Tentera-tentera Talut yang ditapis dan ditapis dan akhirnya yang tinggal hanyalah mereka yang punya keimanan yang tinggi dan memuncak. Akhirnya kemenangan diperoleh hanya dengan lastik.

Yakinlah. Al-Haq akan datang dan menang, dan Al-Batil akan tumpas dan berlalu pergi (Al-Israa':81). Tapi jangan dilupa beberapa ayat yang didahulukan sebelum ayat 81 ini (sila tadabbur). Ada tuntutan-tuntutan sebelum Al-Haq menang, iaitu solat dan tahajjud --> simbol dan praktikal rabbaniy itu.

Inilah prinsip kita yang ingin menyampaikan Risalah dan meneruskan sunnah terbesar Ar-Rasul. Menjadi golongan kekasih Dia dan kekasih Ar-Rasul. Justeru kita perlukan bekal yang banyak untuk memikul beban yang berat ini. Analogi yang diberikan oleh seorang akh ---> Kren yang nak angkut benda yang berat perlukan pemberat dibelakangnya.
Begitu juga kita yang ingin membawa amanah yang berat, sangat membutuhkan bekal yang banyak.

Wallahu a'lam.

No comments: